Check This Out Babe!

Monday, 9 December 2013

Anak Tidak Sah Taraf Wajar Diserah Kepada Keluarga Angkat

Assalamualaikum

Anak yang lahir ke dunia ibarat sehelai kain putih yang suci dan belum dicorakkan lagi.Kita sebagai ibu bapa dan orang dewasalah yang diberi amanah mencorakkannya untuk terus survive dan menjadi khalifah di muka bumi ini.Anak-anak adalah pinjaman dari Allah.Jika kita sebagai ibu bapa yang positif, anak pasti akan positif.
Teringat kata-kata ibu Rozieta iaitu pakar keluarga.Jika kita ibu bapa yang positif namun anak-anak menjadi negatif, ingatlah itu adalah ujian Allah.Maka istighfar...
Kehidupan masa kini amatlah berat dan banyak dugaannya..kita perlu memberi ilmu yang mencukupi agar anak-anak menjadi manusia yang positif.Cuba elakkan emosi negatif dalam diri mereka kerana kalau tidak ia akan menjadi noktah hitam dalam hidup mereka kelak.


Kenapa Wajar Anak Tidak Sah Taraf Diserah kepada Keluarga Angkat

Mungkin ramai tidak bersetuju dan sependapat dengan saya. Saya hanya memberikan pandangan sahaja. Saya menulis melalui pengalaman harian yang dilihat dan dirasai.

Kenapa saya menggalakkan anak-anak yang tidak berbapa diberikan kepada keluarga angkat adalah untuk mengelakkan emosi anak cedera sebelum tiba masanya. Maksud saya tidak berpada ialah anak yang terhasil dari zina. Islam tidak mengiktiraf sesiapa pun menjadi bapa kepada anak ini walaupun lelaki menzinai ibunya itu telah menikahi ibunya.

Anak tidak bersalah, tetapi kenapa ia dihukum untuk bersedih sepanjang hayat, berhadapan dengan ejekan dan umpatan di awal usia kehidupan?

Sekarang ini mykid sudah dimansuhkan, maka segala urusan melibatkan sijil kelahiran sehingga layak anak itu mendapat kad pengenalan.

Apabila segala urusan kesihatan dan persekolahan menggunakan sijil kelahiran, samalah kita mengkhabarkan kepada dunia bahawa anak ini adalah anak tidak sah taraf, anak ini maklumat bapanya tidak diketahui.

Apabila anak itu bersekolah, dengan keadaan di mana setiap tahun anak-anak perlu menyerahakan salinan sijil kelahiran kepada guru kelas, samalah kita menyuruh anak itu mengetahui dirinya tidak mempunyai bapa seawal usia 7 tahun.

Apa perasaan anak itu?

Anak yang tidak mempunyai bapa dikatakan anak yatim, anak yatim dari pernikahan yang sah
ada nama bapa dan ada kubur bapa. Tapi anak tidak sah taraf ini, tidak berbapa, bolehkah disebut anak yatim? Usahkan bapa, nama bapa pun tidak ada ditulis di dalam sijil kelahiran. Alangkah berdukanya anak itu dari seawal usia kanak-kanak dan kesannya membawa sepanjang hayat.


Keadaan ini berbeza sekiranya anak diserahkan kepada keluarga angkat terutama keluarga angkat yang belum mempunyai anak. Apabila anak ini dipelihara dan tinggal bersama keluarga angkat sehingga berusia 2 tahun atau lebih, keluarga angkat boleh memohon penukaran sijil kelahiran kepada sijil anak angkat dengan JPN.

Bukan semudah kopek kulit kacang juga urusannya, perlu lalui temuduga oleh JPN. Sekiranya ketika temuduga, pihak JPN tidak berpuashati, mereka akan merujuk kepada pihak JKM pulak.

Apabila permohonan pengangkat anak diluluskan , Sijil Kelahiran Asal anak akan diambil oleh JPN dan diganti dengan Sijil Pengangkatan Anak. Pada sijil pengangkatan ini, maklumat bapa tidak diketahui akan lupus dan tidak dinyatakan lagi.

Jika dari kecil anak itu dipelihara oleh keluarga angkat, maka anak itu lebih maklum dan bersedia menerima takdirnya. Anak itu tahu dari kecil bahawa dia hanya anak angkat. Tidak ada sesiapa pun tahu status dia anak tidak sah taraf. Samada kawan-kawan atau guru-guru. Emosinya tidak cedera apabila dia tahu dia adalah anak angkat sedari dia kecil lagi.

Walau bagaimana pun hubungan anak dan ibu kandung tetap seperti biasa. Ibu kandung berhak menziarahi anaknya bila-bila masa. Keluarga angkat sepatutnya menerima ibu kandung anak itu sebagai sebagai ahli keluarga mereka.

Jika ibu kandung berkahwin, suami ibu kandung boleh diperkenal sebagai bapa (mereka telah menjadi mahram seperti anak dengan bapa tiri, selagi anak itu belum sampai usia sepatutnya dia tahu, biarlah dianggap sebagai bapa)

Semua keadaaan ini adalah untuk keharmonian emosi anak yang tidak bersalah tetapi keadaan telah mentakdir mereka begitu.

Dan sekiranya anak itu perempuan, ketika bernikah , bapa angkat boleh menggunakan wali hakim dan anak itu pun tidak banyak bertanya kerana tahu bapa itu hanyalah bapa angkat. Anak itu memang sedia maklum dan tahu bahawa bapa angkatnya tidak boleh jadi wali pernikahan walaupun mungkin telah menjadi bapa susuan.


Ibu mana tak sayang anak, disebabkan sayanglah berilah peluang untuk anak itu hidup sempurna seperti keluarga lain, ada ibu dan ada bapa. Jangan cederakan emosinya sepanjang hayat.

Saya yang memelihara beberapa hari pun bersedih melihat keadaan bayi, apatah lagi ibunya sendiri yang mengusung dalam rahim selama 9 bulan.

Walaupun anak diserahkan kepada keluarga angkat, nasab anak dengan ibunya tetap sampai akhirat. Tidak ada sesiapa berhak menapikan hak ibu kandung keatas anaknya. Hanya di dalam perundangan, apabila telah diserahkan kepada keluarga angkat, ibu kandung tidak boleh menuntut semula anaknya itu. Ibu kandung memang sedia maklum hal ini ketika penyerahan di lakukan. Namun di dalam Islam, nasab dan hak pewarisan harta anak kekal dengan ibunya.

Ingin saya mencadangkan kepada keluarga angkat, anggaplah kamu sedang melaburkan saham akhirat. Kos penjagaan dan pendidikan anak angkat ini ibarat kamu bersedekah. Jika diberikan didikan yang sempurna, anak ini tetap mengenang jasa ibu bapa angkatnya sampai bila-bila.


Ibu bapa yang mengasuhlah yang akan mewarna anak itu. Jika anak yang diasuh itu baik, ibu kandung dan ibu bapa angkat mendapat ganjaran pahala. Namun sekiranya anak-anak itu disia-siakan, agama dan akhlaknya buruk, keluarga angkat yang menanggung akibat kerana mereka yang mencorak dan mendidik anak tersebut.


Kredit: Umi Munaliza (Islam Untuk Semua HALAQAH)


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...